Tuesday, February 15, 2011

Kebaikan tidak perlu balasan

assalamualaikum..
sekadar perkongsian kembali...~~~
kalu yang sudah membacanya anggap saja sebagai peringatan kembali..


Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan permandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan yang sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga, amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.

Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.

Pemuda itu ceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.

Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu, kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga, tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.

“Berapa harga susu ni?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.

Jawab budak perempuan itu, “Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan minta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.”
Pengembara muda itu tersentuh dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu saya hanya dapat mengucapkan terima kasih saja,” kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan tersebut dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.

Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan kemudian berkata, “Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan minta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.” 
Kini masa untuknya membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir bandar.

Gadis tersebut mengeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekali pun, belum tentu dia mampu membayar bil yang dikenakan itu.

Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

“Bayarlah dengan segelas susu…” -Dr. Howard Kelly.

p/s - Artikel yang baru anda baca tadi adalahpengalaman sebenar Dr. Howard Kelly (1858-1943), salah seorang daripada empat doktor yang mengasaskan Universiti John Hopkin, Amerika Syarikat. Peristiwa Dr. Howard Kelly diberikan segelas susu berlaku semasa beliau mengembara ke Pennsylvania. Ketika itu dia masih belajar di sebuah kolej, tetapi belum menjuruskan pengajian dalam bidang perubatan. Beliau lebih berminat mengkaji tentang alam dan haiwan.

Sepanjang kerjayanya, Dr. Howard Kelly diingati kerana sifat pemurahnya. Beliau bukan sekadar tidak mengenakan bayaran malah turut menggajikan jururawat untuk menjaga para pesakitnya yang tidak berkemampuan. Dr. Howard Kelly juga biasanya menolak bayaran yang diberikan apabila mengetahui pesakitnya itu miskin dan hidup dalam kesulitan.

Apakah yang menyebabkan beliau menjadi begitu pemurah? Tidak lain tidak bukan kerana peristiwa seorang anak kecil yang 
memberikannya segelas susu dan berkata, “….jangan minta balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.”





No comments:

Post a Comment